Jan 14, 2011

ASPEK-ASPEK SASTERA


Tema ialah idea utama atau persoalan yang mengawal sesebuah karya sama ada disampaikan secara langsung atau tidak langsung. Idea ialah fikiran atau sesuatu yang menjadi persoalan bagi pengarang dan persoalan itu merupakan tunjang kepada sesebuah karya. Tema yang ditulis akan menjadi panduan untuk memilih bahan dalam cerita, menyusun dan memantapkan cerita. Tema dalam sesebuah karya tidak dapat dikesan sehingga selesai cerita itu dibaca. Apa yang terkandung di sebalik sesebuah karya itu merupakan pokok persoalan atau tema. Tema itu lahir melalui pengalaman, imaginasi dan konflik.

Persoalan ialah perkara sampingan yang ada hubungan dengan tema yang hendak diungkapkan oleh pengarang bagi menguatkan sesuatu tema dalam sesebuah karya.

Plot ialah sesuatu yang menghubungkan antara peristiwa dalam sesebuah karya yang pertaliannya dengan gerak laku fizikal dan rohani pelaku atau watak. Setiap peristiwa dan gerak laku yang berlaku adalah berdasarkan kepada hukum sebab dan akibat. Plot memaparkan tentang aksi dan mengapakah aksi itu terjadi. Aksi yang ditunjukkan oleh watak akan berkembang dan berhubungan antara satu sama lain. Kemungkinan besar plot yang disusun secara kronologi atau tidak kronologi. Plot kronologi ialah plot yang disusun mengikut urutan, iaitu peristiwa yang berlaku dahulu akan didahulukan dan kemudian akan dikemudiankan. Sementara plot tidak kronologi ialah peristiwa yang berlaku kemudian didahulukan sementara peristiwa yang berlaku dahulu dikemudiankan.

Watak ialah pelaku atau pelakon dalam sesebuah karya. Watak tidak semestinya manusia, tetapi boleh juga terdiri daripada haiwan, tumbuh-tumbuhan dan unsur alam. Perwatakan pula ialah sifat-sifat luaran dan sifat-sifat dalaman yang positif dan negatif secara menyeluruh yang disorot melalui perasaan, tindakan, pemikiran dan fizikal seseorang watak itu. Gambaran watak boleh disampaikan oleh pengarang secara langsung dan tidak langsung melalui tutur kata, aksi atau cara berfikir watak.

Watak terbahagi kepada dua iaitu watak utama dan watak sampingan. Watak utama ialah watak yang memainkan peranan penting dan menggerakkan sesebuah cerita. Sementara watak sampingan ialah watak yang menyokong watak utama untuk melengkapkan cerita. Peranan watak sampingan lebih kecil daripada watak utama.

Latar ialah latar belakang bagi sesebuah cerita. Latar terbahagi kepada tiga iaitu latar tempat, latar masa dan latar masyarakat. Latar masa ialah waktu atau tempoh masa sesuatu peristiwa itu berlaku. Contohnya pagi, tengah hari, senja, malam, zaman pendudukan Jepun, zaman moden dan sebagainya.
latar tempat ialah di mana sesuatu peristiwa itu berlaku misalnya dalam rumah, di Ipoh, dalam hutan dan sebagainya. Latar masyarakat ialah keadaan atau gambaran masyarakat di tempat sesuatu peristiwa itu berlaku misalnya masyarakat kampung, masyarat bandar dan sebagainya.

Nilai Kemanusiaan

Nilai kemanusiaan ialah nilai-nilai yang baik atau nilai positif yang terdapat dalam sesebuah karya cereka. Nilai-nilai baik seharusnya dimiliki, dihayati dan diamalkan oleh manusia. Antara nilai-nilai baik itu ialah:

Nilai Kemasyarakatan

Nilai kemasyarakatan ialah nilai yang baik (positif) dan nilai buruk (negatif) yang terdapat dalam sesebuah masyarakat. Nilai positif dan nilai negatif ini dimiliki, dihayati dan diamalkan oleh sebahagian anggota masyarakat. Nilai kemasyarakatan merangkumi nilai yang tersenarai di atas. Sementara nilai-nilai negatif misalnya masyarakat yang suka menyebarkan fitnah, masyarakat yang tidak taat kepada perintah Allah dan sebagainya.

Pengajaran ialah amanat yang hendak disampaikan oleh pengarang melalui karyanya, terutama dari segi moral dan pendidikan untuk menghayati konsep yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Pengajaran juga dikenali sebagai mesej, amanat dan nilai moral. Dalam hal ini pengarang mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Karya yang baik seharusnya menyampaikan pengajaran, mesej dan amanat kepada pembaca.

Gaya bahasa dilihat daripada dua aspek iaitu unsur bahasa dan unsur bunyi. Unsur bahasa dalam sesebuah karya tercipta daripada beberapa unsur contohnya gaya bahasa perbandingan, gaya bahasa perulangan, penggunaan diksi, struktur ayat dan gaya bahasa yang mengandungi nilai estetika atau keindahan yang mampu menarik minat pembaca. Gaya bahasa perbandingan adalah seperti simile, personifikasi, metafora, peribahasa, simpulan bahasa dan hiperbola. Gaya bahasa simile bermaksud perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan menggunakan perkataan-perkataan seperti bak, bagai, umpama, ibarat, dan seperti. Contohnya bagai ranting kering. Gaya bahasa personifikasi bermaksud memberikan maksud manusia atau unsur perorangan kepada sesuatu objek atau perkara. Contoh, daun kelapa melambai-lambai di tiup angin. Metafora merupakan sejenis gaya bahasa perbandingan yang menggabungkan unsur konkrit dan abstrak misalnya laut kasih. Gaya bahasa hiperbola pula bermaksud membandingkan sesuatu secara berlebih-lebihan. Misalnya marahnya berapi-api bila panggilan tidak dipedulikan.

Unsur bunyi ialah aliterasi dan asonansi. Aliterasi ialah pengulangan huruf konsonan, iaitu huruf-huruf selain huruf-huruf vokal. Contohnya puisi Pasar Perasaan tulisan T. Alias Taib: yang diriuhkan kekosongan – pengulangan konsonan n. Asonansi ialah pengulangan huruf-huruf vokal a, e, i, o dan u. Contohnya, berdasarkan puisi Pasar Perasaan tulisan T. Alias Taib: bagai ranting kering – pengulangan vokal i

(sumber JPN Perak)

Nov 3, 2010

FOKUS BMSPM 2010 - KARANGAN BAHAGIAN B

Soalan 1:Remaja/diri sendiri

Rakan anda sering terbabit dalam perlumbaan motosikal haram. Anda ingin menasihatinya supaya meninggalkan aktiviti yang tidak berfaedah tersebut. Tulis sepucuk surat kepada rakan anda itu.

Pihak Kementerian Pelajaran mengadakan pertandingan syarahan yang bertajuk “Belia Benci akan Dadah”. Anda ingin menyertai pertandingan tersebut. Tulis teks syarahan tersebut dengan lengkap

 Anda menyertai pertandingan perbahasan ala parlimen pada peringkat kebangsaan. Usul yang telah ditetapkan ialah `Mata pelajaran Bahasa Inggeris wajar dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan SPM’. Sebagai Perdana Menteri, bentangkan usul ini.

Rakyat Malaysia digalakkan supaya menguasai bahasa asing. Pada pendapat anda, apakah kepentingan rakyat Malaysia menguasai bahasa asing.

Disiplin diri merupakan kunci utama kepada setiap pelajar untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Bincangkan kepentingan disiplin diri kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan.


Soalan 2: Keluarga

Gejala sosial yang semakin leluasa menggambarkan bahawa keluarga gagal merealisasikan konsep pembentukan keluarga yang bahagia. Huraikan punca-punca yang menyebabkan sesebuah keluarga gagal mewujudkan keluarga yang bahagia.

Sekolah anda menganjurkan pertandingan syarahan. Tajuk yang telah ditetapkan ialah “Keteguhan Institusi Keluarga Menjana Pembangunan Negara”. Sediakan teks syarahan tersebut dengan lengkap.

Keluarga memainkan peranan penting untuk meningkatkan kesihatan dalam kalangan ahli keluarga. Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk memastikan tahap kesihatan keluarga sentiasa terpelihara.

Penggunaan Internet dalam kalangan remaja semakin meningkat. Hal ini menyebabkan remaja terdedah dengan pelbagai pengaruh yang positif dan negatif. Bincangkan peranan ibu bapa untuk memastikan anak-anak supaya mereka dapat memanfaatkan Internet dalam kehidupan mereka.

Gejala remaja lari dari rumah sering menjadi tajuk utama akhbar-akhbar tempatan di negara ini. Masalah ini semakin leluasa dan membimbangkan pelbagai pihak. Huraikan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk menangani masalah ini.


Soalan 3: Persekitaran/Masyarakat

Anda menyertai satu pertandingan syarahan. Tajuk yang telah ditentukan oleh pihak penganjur ialah “Negara Bebas Rasuah”. Tulis teks syarahan tersebut dengan lengkap.

Kemasukan pelaburan asing ke negara kita sangat penting untuk memacu dan menggerakkan ekonomi negara. Huraikan kebaikan pelaburan asing kepada rakyat dan negara.

Kes jenayah semakin leluasa di negara kita. Untuk menangani masalah ini, masyarakat setempat perlulah bersatu hati dan bekerjasama. Bincangkan peranan masyarakat untuk mengurangkan kes jenayah tersebut.

Pembangunan yang mesra alam akan mengelakkan pencemaran. Buktikan kenyataan ini.
Kawasan hutan di negara kita semakin mengecil akibat aktiviti pembangunan yang pesat. Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil untuk melestarikan hutan di negara kita.


Soalan 4: Global/serantau/antarabangsa

Semua negara di dunia hendaklah diharamkan daripada menjalankan atau mengaktifkan program senjata nuklear di negara masing-masing. Bincangkan penyataan ini.

Keselamatan di perairan Selat Melaka menjadi tanggungjawab semua negara di dunia. Sejauh manakah anda bersetuju tentang kenyataan ini.

Malaysia sering mengadakan kerjasama dalam kalangan negara serantau. Huraikan kerjasama yang pernah dilakukan oleh negara kita.

Kawasan perairan Selat Melaka dikatakan tidak selamat kerana aktiviti lanun yang semakin berleluasa. Pada pendapat anda, bagaimanakah aktiviti lanun ini dapat dibendung oleh pihak berkuasa.

Semua negara di dunia perlu berusaha untuk mewujudkan keamanan. Pada pendapat anda, bagaimanakah usaha ini dapat dicapai..


Soalan 5: Komsas

Dalam era globalisasi ini, minat remaja terhadap sastera semakin menipis. Remaja pada alaf ini lebih suka menghabiskan masa dengan permainan elektronik, komputer, telefon bimbit, dan sebagainya. Pada pendapat anda, adakah wajar mereka bertindak demikian?

Sempena bulan kemerdekaan, anda bercadang untuk menulis cerpen yang bertemakan semangat cinta akan negara. Tulis cerpen itu dengan lengkap.

Anda telah membaca sebuah cerpen yang menarik. Anda bercadang untuk mengulas cerpen tersebut untuk diterbitkan dalam akhbar tempatan. Tulis ulasan tentang cerpen tersebut.

Anda telah menonton sebuah drama di televisyen.. Anda tertarik akan drama itu. Anda bercadang untuk menulis ulasan tentang drama tersebut. Tulis ulasan tersebut dengan lengkap.

Peribahasa Melayu menyatakan bahawa di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Peribahasa ini sering dijadikan panduan apabila kita berada di mana-mana sahaja kawasan atau di dunia ini. Tulis pendapat anda tentang perkara yang berkaitan dengan peribahasa ini.

Oleh Cikgu Ghalib menerusi Facebook.com 23 October 2010, 10:15 mlm

Fokus Karangan Bahan Rangsangan SPM 2010

Karangan A - Contoh :

Kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara.

Klik di sini

Amalan Gaya Hidup Sihat

Klik di sini

Sep 16, 2010

Soalan Percubaan Negeri PMR 2010

Sesiapa hendak soalan Percubaan Negeri PMR 2010 (untuk negeri tertentu sahaja, emel saya di cikguaniza@gmail.com. Sebutkan soalan negeri mana, kalau ada dalam simpanan saya, saya akan hantarkan. Tolong nyatakan negeri tersebut. Saya tidak dapat menghantar semua sekali kerana saiznya besar dan terpaksa menunggu lama untuk 'loading;, jadi saya tidak dapat bantu kalau ada yang mahu semuanya. Mungkin akan datang saya share di internet.