Jan 29, 2009

SELOKA GURU BERSARA

Seloka ini saya hasilkan buat Cikgu Mohammad Latiff yang bersara pada 1 Februari 2009 tapi majlis persaraanya dibuat pada 23 Januari 2009.Mulanya nak dipersembahkan pada majlis tersebut tetapi disebabkan Guru Cemerlang sekolah dah cipta sebuah seloka yang jauh lebih baik daripada ciptaan saya, maka saya batalkan niat untuk menyampaikan seloka tersebut.Alahai! Siapa lah saya kalau nak dibandingkan dengan Guru Cemerlang Bahasa Melayu itu.

Namun rasa sayang jugak nak buang hasil nukilan saya walau tidak seberapanya itu.Jadi, saya titipkan di blog ini. Untuk makluman semua, cara menyampaikan seloka adalah dengan gaya bersahaja dan berirama, lebih kurang pantun jugak cuma seloka seperti syair yang setiap barisnya menyampaikan maksud (tiada pembayang)

Assalamualaikum pembuka bicara

Madah disusun mengungkap rasa

Suasana suram pagi yang hiba

Bagai mengerti gelodak jiwa

               Cikgu Mat Latf panggilan mesra

              Guru veteran yang banyak berjasa

              Mendidik anak bangsa bukan sebentar cuma

              Tiga dekad begitulah lama

Dari muda hingga berusia

Pada ACS juga yang setia

Menabur bakti mencurah jasa

Tak terbalas dek pelajar semua

             Cikgu Hardave dan Cikgu Chong juga

            Bekas pelajar Cikgu Mat kita

            Lihatlah betapa dedikasinya mereka

            Hasil didikan Cikgu Mat tercinta

Kini sudah tibanya masa

Berundur Cikgu Mat kerana bersara

Hilanglah permata yang berharga

Hilang seri hilang cahaya

            Sudah biasa kita dengari

            patah tumbuh hilang berganyi

           namun tak sama guru yang ini

          Tak mungkin ada galang ganti

Kenangan manis kekal selama-lamanya

Jasamu cikgu Mat tak mungkin dilupa

Pemergianmu cikgu kami redha

Sudah suratan berpisah akhirnya

          Sampai di sini seloka kami

         Tidak berakhir hubungan ini

           Silaturahim kita terus terpatri

          Biarpun cikgu Mat tiada di sisi

Ampun dan maaf kami pinta

Andai pernah mengusik rasa

Jenguklah kami di sini sekalai sekala

Andai rindu datang menjelma

            Semoga cikgu Mat sihat sejahtera

           Menyusuri hari-hari yang ceria

          Di samping beribadat pada yang Esa

          Moga dilindungi Allah sekeluarga hendaknya.

Jan 24, 2009

TEKNIK MENJAWAB KERTAS 2 PMR BAHASA MELAYU

TEKNIK MENJAWAB KERTAS 2 BAHASA MELAYU PMR

PEMBAHAGIAN SOALAN

BAHAGIAN A i - Ringkasan Karangan
BAHAGIAN A ii – Pemahaman
BAHAGIAN B - Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan
BAHAGIAN C - Karangan Respons Terbuka
Bahagian D - Pemahaman Novel

TEKNIK MENJAWAB BAHAGIAN A i

a.Cari sekurang-kurangnya lima (5) isi
b.Tulis semula isi-isi dalam satu perenggan
c.Sambungkan ayat-ayat menggunakan penanda wacana seperti:
  Selain itu
  Justeru
  Sehubungan dengan itu

d.Elakkan daripada menyalin terus daripada petikan
e.Elakkan menyalin isi secara terpilih

Pemarkahan Bahagian A i

ISI - 5 isi x 2m = 10 m
Bahasa = 10 m
Jumlah = 20 m

BAHAGIAN A ii (Pemahaman)

Soalan 1 : maksud kata/rangkai kata 2 markah

Maksud perlu tepat mengikut konteks dalam petikan dan ditulis dalam ayat gramatis  

Soalan 2 

Soalan pemahaman (isi tersurat berdasarkan petikan) 4 markah

2 isi (yang tepat dan ditulis dalam ayat yang lengkap dan gramatis )
x 2 markah = 4 markah


Teknik Menjawab Soalan 2

Jawapan ada dalam petikan yang diberi.
  Berikan dua isi yang tepat.
  Tulis jawapan dalam ayat yang gramatis.

BAHAGIAN A ii (Pemahaman Kemahiran Berfikir)

Soalan 3 
Soalan pemahaman (isi tersirat/isi berdasarkan pengetahuan luar yang berkaitan)
  4 markah

TEKNIK MENJAWAB SOALAN 3 

Jawapan TIADA dalam petikan yang diberi.
  Berikan dua isi yang tepat.
  Tulis jawapan dalam ayat yang gramatis

BAHAGIAN B (Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan)

Markah penuh - 20 markah
Isi karangan berdasarkan bahan rangsangan yang diberi
Bahan rangsangan :
  Gambar tunggal
  Gambar bersiri
  Iklan
  Gambarajah

TEKNIK MENJAWAB BAHAGIAN B  

Bahan rangsangan hanya sebagai alat pencetus idea / peta minda
Isi karangan boleh diambil daripada bahan rangsangan 
Isi karangan boleh berdasarkan pengetahuan luar pelajar ( yang berkaitan)
  

BAHAGIAN C (Karangan Respon Terbuka)

Markah penuh - 40 markah
Karangan dinilai berdasarkan :
 a) Penggunaan Bahasa
 b) Idea / Isi 
 c) Pengolahan

TEKNIK MENJAWAB BAHAGIAN C


Baca soalan dengan teliti.
Pilih tajuk karangan yang benar-benar difahami.
Cadangan : Isi + huraian + contoh
Bilangan perkataan perlu lebih 180 patah perkataan.
Unsur keindahan bahasa perlu dimasukkan dalam karangan 
Frasa menarik (FS) membantu meningkatkan markah

TEKNIK MENJAWAB BAHAGIAN D (Pemahaman Novel)

Pilih novel yang benar-benar diketahui jalan ceritanya.
Nyatakan nama novel yang dipilih dalam jawapan.
Tulis jawapan dalam satu perenggan sahaja.
Ayat yang dibina mestilah gramatis.
Isi mestilah disertakan dengan huraian/contoh berdasarkan watak/peristiwa/latar (mana-mana yang berkaitan)





Jan 18, 2009

SPM Soalan 3a

BAHASA MELAYU
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
KOD 1103/2
 
KERTAS 2
 
Soalan 3 (a) [6 markah]
 
Jenis-Jenis Soalan Membina Ayat.
 
 
  Peringatan Kepada Pelajar
 
  - Bina satu ayat bagi setiap perkataan yang diberikan dan sebaik-baiknya ialah 
  ayat berlapis iaitu sesuai dengan peringkat kematangan pelajar Tingkatan 4 
  dan 5.
  - Satu markah akan diberikan pada ayat yang betul.
  - Setengah markah akan ditolak bagi kesalahan ejaan/ jalan bahasa/ isi 
  yang tidak jelas.
  - Jangan jadikan perkataan sebagai simpulan bahasa atau nama khas.
  - Jangan bina lebih daripada satu ayat. 
  - Jangan tinggalkan imbuhan atau tambah imbuhan pada perkataan yang diberi.
  - Boleh bina ayat dengan menggunakan cakap ajuk. (Ikut peraturan membina 
  ayat cakap ajuk).
 
  1. Membina ayat daripada kata ganda
 
 
  Kata ganda penuh
 
  Contoh soalan:
  Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan anda faham 
  akan penggunaan dan maksudnya. 
 
  i. jari-jari
  ii. suka-suka
  iii. tinggi-tinggi
  iv. angan-angan
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Jari-jari
  Jari-jari pada jendela di rumah usang itu telah rosak dimakan anai-anai.
 
  ii. Suka-suka
  Saya hanya suka-suka pergi ke pantai tersebut untuk mencari ketenangan.
 
  iii. Tinggi-tinggi.
Bangunan yang terdapat di ibu kota kebanyakannya tinggi-tinggi belaka.
 
  iv. Angan-angan. 
Kita hendaklah menjadikan angan-angan kita sebagai satu kenyataan dalam 
hidup.
 
 
  Kata ganda separa/ sesuku
 
  Contoh soalan:
  Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan anda faham 
  akan penggunaan dan maksudnya. 
 
  i. cecair
  ii. kekuda
  iii. dedalu
  iv. jejari
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Cecair.
  Cecair berwarna kuning yang terdapat di dalam botol itu digunakan sebagai 
  bahan penyubur pokok.
 
  ii. Kekuda
 Tulang bumbung rumah itu dipasang kekuda supaya kukuh dan tidak 
 mudah ditiup angin.
 
  iii. Dedalu
  Banyak pohon dedalu menumpang hidup pada pokok-pokok besar di hutan 
  tersebut.
 
  iv. Jejari.
Lima meter panjang jejari pada bulatan di atas bumbung bangunan itu.
 
 
  Kata ganda berentak
 
  Contoh soalan, (Kata ganda berentak bunyi di hujung)
  Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan anda faham 
  akan penggunaan dan maksudnya. 
 
  i. sayur-mayur
  ii. kuih-muih
  iii. cerai-berai
  iv. karut-marut.
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Sayur-mayur.
 Sayur-mayur yang masih segar dijual di pasar tersebut pada setiap pagi.
 
  ii. Kuih-muih. 
 Kuih-muih itu dibuat untuk majlis perkahwinan anak Pak Abu.
 
  iii. Cerai-berai.
  Tindakan Haji Hussin yang keterlaluan itu telah mendorong keluarga anak 
  sulungnya menjadi cerai-berai.
 
  iv. Karut-marut. 
  Orang Melayu mudah terikut-ikut dengan kepercayaan yang karut-marut
  itu.
 
 
  Contoh soalan, (Kata ganda berentak bunyi di pangkal)
  Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan anda faham 
  akan penggunaan dan maksudnya. 
 
  i. kayu-kayan
  ii. bolak-balik
  iii. mandi-manda
  iv. Lalu-lalang
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Kayu-kayan.
 Kayu-kayan yang keras telah digunakan untuk membuat perabot yang 
 berukir itu.
  
  ii. Bolak-balik.
  “Jangan bercakap bolak-balik sehingga ayah menjadi marah” kata Ali
  kepada adiknya.
  
  iii. Mandi-manda.
 “Puteri Bongsu sedang mandi-manda di kolam di belakang istana” kata 
 hulubalang kepada baginda sultan.
 
  iv. Lalu-lalang.
 Banyak kenderaan lalu-lalang di jalan raya di hadapan sekolah tersebut.
 
 
  Contoh soalan, (Kata ganda berentak bebas)
  Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan anda faham 
  akan penggunaan dan maksudnya. 
 
  i. anak-pinak
  ii. lintang-pukang
  iii. ramah-tamah.
  iv. kusut-masai
 
  Contoh jawapan:
  
  i. Anak-pinak.
  “Hampir semua anak-pinak Pak Sulung hadir bersama bagi meraikan 
  majlis hari jadinya yang keseratus lapan semalam” kata Hajah Siti Hajar 
  kepada emak saudaranya.
 
  ii. Lintang-pukang. 
  Penagih-penagih dadah di belakang rumah besar itu lari lintang-pukang 
  apabila mereka diserbu oleh pihak polis.
 
  iii. Ramah-tamah. 
 Sikap ramah-tamah yang ditunjukkan Haji Majid dan keluarganya 
 menyebabkan keluarga kami suka mengunjungi rumahnya.
  
  iv. Kusut-masai.
  Rambutnya kelihatan kusut-masai apabila terkena hujan lebat.
 
 
  2. Membina ayat daripada perkataan yang hampir sama bunyi tetapi 
  berlainan maksud.
 
  Contoh soalan:
  Tuliskan ayat bagi setiap perkataan dalam pasangan perkataan di bawah untuk 
  menunjukkan perbezaan maksud.
 
  i. deklarasi - deklamasi
  ii. suram - suam
  
  Contoh jawapan:
 
  i. (a). Deklarasi.
  Satu deklarasi mengenai penjagaan alam sekitar telah dibuat di Kuala 
  Lumpur oleh ketua-ketua negara ASEAN.
 
  (b). Deklamasi.
  Pertandingan deklamasi sajak sempena Hari Kebangsaan Peringkat 
  Daerah Segamat telah diadakan pada bulan lepas.
  
  ii. (a). Suram.
  Kabus yang tebal menyebabkan cahaya lampu di atas bukit itu 
  kelihatan suram.
   
  (b). Suam.
  Pak Abu menggunakan air suam untuk melembutkan kerak nasi yang  
  terdapat di dalam periuk itu.
 
 
  3. Membina ayat daripada perkataan tunggal atau kata dasar dan 
  perkataan berganda.
 
  Contoh soalan:
  Tuliskan satu ayat bagi setiap pasangan perkataan di bawah supaya jelas 
  menunjukkan perbezaan maknanya tanpa menambah sebarang imbuhan.
 
  i. tupai - tupai-tupai
  ii. senang - senang-senang
 
  Contoh jawapan:
 
  i. (a). Tupai.
  Beberapa ekor tupai telah terperangkap dalam jebak yang dipasang di 
  atas pokok durian di dusun Pak Leman. 
 
  (b). Tupai-tupai.
  Tupai-tupai dipasang pada tiang bumbung rumah itu supaya 
  kedudukan bumbung rumah itu terus kukuh.
 
  ii. (a). Senang.
  “Asmah, bukan senang aku nak dapat kebenaran daripada ayah” kata 
  Aminah kepada adiknya.
   
  (b). Senang-senang.
  “Ketika senang-senang, datanglah ke rumah saya,” kata ibu kepada 
  rakannya.
 
 
  4. Membina ayat daripada rangkai kata atau ungkapan.
 
  Contoh soalan:
  Tuliskan satu ayat bagi setiap rangkai kata di bawah untuk menunjukkan 
  bahawa anda faham akan penggunaan atau maksudnya.
 
  i. hati terbuka
  ii. berputus asa
  iii. jiwa merdeka
  iv. serkap jarang
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Hati terbuka.
  Cikgu Halimah menerima tetamu pada hari raya dengan hati terbuka.
 
  ii. Berputus asa.
  Kita jangan berputus asa walaupun telah lima kali gagal dalam 
  peperiksaan.
 
  iii. Jiwa merdeka.
 “Mantapkan jiwa merdeka pada diri anda agar anda menjadi seorang 
  warganegara yang disegani", nasihat guru kaunseling kepada anak 
  muridnya.
 
  iv. Serkap jarang. 
  Tuduhan yang dikenakan kepada pegawai itu kurang mempunyai bukti yang 
  kukuh dan tindakan itu hanya sebagai serkap jarang sahaja.
 
 
  5. Membina ayat daripada perkataan berimbuhan.
 
  Contoh soalan:
  Tuliskan ayat bagi setiap pasangan perkataan di bawah untuk menunjukkan 
  bahawa anda faham akan penggunaan dan maksudnya.
 
  i. penyedap - menyedapkan
  ii. penamaan - kenamaan.
 
  Contoh jawapan:
 
  i. (a) Penyedap.
  Rempah ratus dari India digunakan sebagai penyedap dalam masakan 
  itu.
   
  (b) Menyedapkan.
  Udang kering yang dikisar dimasukkan ke dalam makanan itu untuk 
  menyedapkan rasanya.
 
  ii. (a) Penamaan.
  Penamaan calon bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri Kawasan 
  Sepinang akan dilakukan pada hari esok.
   
  (b) Kenamaan.
  Beberapa orang kenamaan telah hadir untuk menyerikan majlis 
  perkahwinan tersebut.
 
  Contoh soalan:
  Tuliskan satu ayat bagi setiap pasangan perkataan di bawah untuk 
  menunjukkan bahawa anda faham akan penggunaan dan maksudnya.
 
  i. ada
  ii. berada
  iii. mengadakan
  iv. keadaan
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Ada.
  Dia ada wang untuk membeli kereta mewah tersebut.
 
  ii. Berada. 
  Ketika rumahnya runtuh ditiup angin, dia berada di rumah rakannya.
 
  iii. Mengadakan. 
  Kerajaan telah mengadakan kempen gaya hidup sihat semenjak dua 
  bulan yang lalu.
 
  iv. Keadaan. 
  Encik Ramasamy berada dalam keadaan tenat setelah diserang penyakit 
  jantung.
 
 
  6. Membina ayat daripada kata banyak makna
 
  Contoh soalan:
  Tulis dua ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan 
  perbezaan maknanya.
 
  i. kuat
  ii. cetek
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Kuat.
  1. Walaupun badannya kurus tetapi dia kuat makan.  
  2. Bangunan yang dibina itu sungguh kuat dan teguh.
 
  ii. Cetek.
  1. Sungai di belakang rumahnya tidak berbahaya kerana airnya cetek.
  2. Dia tidak terpilih menjadi ketua kerana ilmu persilatan yang 
  dimiliknya masih cetek.
 
 
  7. Membina ayat daripada pasangan perkataan berimbuhan dan pasangan perkataan berganda.
 
  Contoh soalan:
  Tulis satu ayat bagi setiap pasangan perkataan di bawah untuk menunjukkan 
  perbezaan maksudnya.
 
  i. mengharapkan - harap-harap
  ii. menyenangkan - bersenang-senang
 
  Contoh jawapan:
 
  i. (a). Mengharapkan.
  Encik Hassan terlalu mengharapkan anaknya agar dapat melanjutkan 
  pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam pada tahun hadapan.
 
  (b). Harap-haap.
  “Harap-harap dia akan melaksanakan tugas tersebut dengan 
  sempurna” kata pengetua kepada penolong kanannya.
 
  ii. (a). Menyenangkan.
  Para guru hendaklah menggunakan Teknologi Maklumat bagi membantu dan menyenangkan mereka mengajar.
 
  (b). Senang-senang.
  Mohamad Zaki memberi tahu gurunya bahawa soalan peperiksaan akhir tahun mata pelajaran Matematik yang dikeluarkan oleh gurunya itu senang-senang belaka.
 
(sumber : tak diketahui- maklumat ini dah lama dalam simpanan saya tetapi saya tidak pasti siapa penulisnya.Jadi, kalau ada yang mengaku bahan ini kepunyaan dirinya, maklumkan kepada saya melalui emel cikguaniza@gmail.com)

Jan 5, 2009

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN

Hari pertama persekolahan. 5 JANUARI 2009.Hari ini ada kelas BM tingkatan 3. Saya telah diarahkan supaya memulakan pengajaran dan pembelajaran. Saya sudah bersedia.Tapi bagaimana pula bakal pelajar-pelajar saya? Jadi sebagai memanaskan minda pelajar yang masih tentunya belum bersedia, untuk hari ini saya akan bincangkan tentang sukatan pelajaran Bahasa Melayu PMR.(Sebut tentang hal ini, saya akan ingat bahawa akan datang saya perlu masukkan sukatan pelajaran Bahasa Melayu di blog ini. Insyaallah!.hari ini tak sempat. dah 5.30 pagi. Saya perlu bersiap-siap ke sekolah).

Untuk hari pertama persekolahan, pelajar-pelajar perlu tahu akan skpo pembelajaran mereka. Untuk mereka tahun ini merupakan tahun besar dan penting kerana mereka bakal menduduki PMR. Insyaallah ,saya akan bantu mereka untuk mencapai kejayaan asalkan mereka turut berusaha.