Jan 14, 2011

ASPEK-ASPEK SASTERA


Tema ialah idea utama atau persoalan yang mengawal sesebuah karya sama ada disampaikan secara langsung atau tidak langsung. Idea ialah fikiran atau sesuatu yang menjadi persoalan bagi pengarang dan persoalan itu merupakan tunjang kepada sesebuah karya. Tema yang ditulis akan menjadi panduan untuk memilih bahan dalam cerita, menyusun dan memantapkan cerita. Tema dalam sesebuah karya tidak dapat dikesan sehingga selesai cerita itu dibaca. Apa yang terkandung di sebalik sesebuah karya itu merupakan pokok persoalan atau tema. Tema itu lahir melalui pengalaman, imaginasi dan konflik.

Persoalan ialah perkara sampingan yang ada hubungan dengan tema yang hendak diungkapkan oleh pengarang bagi menguatkan sesuatu tema dalam sesebuah karya.

Plot ialah sesuatu yang menghubungkan antara peristiwa dalam sesebuah karya yang pertaliannya dengan gerak laku fizikal dan rohani pelaku atau watak. Setiap peristiwa dan gerak laku yang berlaku adalah berdasarkan kepada hukum sebab dan akibat. Plot memaparkan tentang aksi dan mengapakah aksi itu terjadi. Aksi yang ditunjukkan oleh watak akan berkembang dan berhubungan antara satu sama lain. Kemungkinan besar plot yang disusun secara kronologi atau tidak kronologi. Plot kronologi ialah plot yang disusun mengikut urutan, iaitu peristiwa yang berlaku dahulu akan didahulukan dan kemudian akan dikemudiankan. Sementara plot tidak kronologi ialah peristiwa yang berlaku kemudian didahulukan sementara peristiwa yang berlaku dahulu dikemudiankan.

Watak ialah pelaku atau pelakon dalam sesebuah karya. Watak tidak semestinya manusia, tetapi boleh juga terdiri daripada haiwan, tumbuh-tumbuhan dan unsur alam. Perwatakan pula ialah sifat-sifat luaran dan sifat-sifat dalaman yang positif dan negatif secara menyeluruh yang disorot melalui perasaan, tindakan, pemikiran dan fizikal seseorang watak itu. Gambaran watak boleh disampaikan oleh pengarang secara langsung dan tidak langsung melalui tutur kata, aksi atau cara berfikir watak.

Watak terbahagi kepada dua iaitu watak utama dan watak sampingan. Watak utama ialah watak yang memainkan peranan penting dan menggerakkan sesebuah cerita. Sementara watak sampingan ialah watak yang menyokong watak utama untuk melengkapkan cerita. Peranan watak sampingan lebih kecil daripada watak utama.

Latar ialah latar belakang bagi sesebuah cerita. Latar terbahagi kepada tiga iaitu latar tempat, latar masa dan latar masyarakat. Latar masa ialah waktu atau tempoh masa sesuatu peristiwa itu berlaku. Contohnya pagi, tengah hari, senja, malam, zaman pendudukan Jepun, zaman moden dan sebagainya.
latar tempat ialah di mana sesuatu peristiwa itu berlaku misalnya dalam rumah, di Ipoh, dalam hutan dan sebagainya. Latar masyarakat ialah keadaan atau gambaran masyarakat di tempat sesuatu peristiwa itu berlaku misalnya masyarakat kampung, masyarat bandar dan sebagainya.

Nilai Kemanusiaan

Nilai kemanusiaan ialah nilai-nilai yang baik atau nilai positif yang terdapat dalam sesebuah karya cereka. Nilai-nilai baik seharusnya dimiliki, dihayati dan diamalkan oleh manusia. Antara nilai-nilai baik itu ialah:

Nilai Kemasyarakatan

Nilai kemasyarakatan ialah nilai yang baik (positif) dan nilai buruk (negatif) yang terdapat dalam sesebuah masyarakat. Nilai positif dan nilai negatif ini dimiliki, dihayati dan diamalkan oleh sebahagian anggota masyarakat. Nilai kemasyarakatan merangkumi nilai yang tersenarai di atas. Sementara nilai-nilai negatif misalnya masyarakat yang suka menyebarkan fitnah, masyarakat yang tidak taat kepada perintah Allah dan sebagainya.

Pengajaran ialah amanat yang hendak disampaikan oleh pengarang melalui karyanya, terutama dari segi moral dan pendidikan untuk menghayati konsep yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Pengajaran juga dikenali sebagai mesej, amanat dan nilai moral. Dalam hal ini pengarang mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Karya yang baik seharusnya menyampaikan pengajaran, mesej dan amanat kepada pembaca.

Gaya bahasa dilihat daripada dua aspek iaitu unsur bahasa dan unsur bunyi. Unsur bahasa dalam sesebuah karya tercipta daripada beberapa unsur contohnya gaya bahasa perbandingan, gaya bahasa perulangan, penggunaan diksi, struktur ayat dan gaya bahasa yang mengandungi nilai estetika atau keindahan yang mampu menarik minat pembaca. Gaya bahasa perbandingan adalah seperti simile, personifikasi, metafora, peribahasa, simpulan bahasa dan hiperbola. Gaya bahasa simile bermaksud perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan menggunakan perkataan-perkataan seperti bak, bagai, umpama, ibarat, dan seperti. Contohnya bagai ranting kering. Gaya bahasa personifikasi bermaksud memberikan maksud manusia atau unsur perorangan kepada sesuatu objek atau perkara. Contoh, daun kelapa melambai-lambai di tiup angin. Metafora merupakan sejenis gaya bahasa perbandingan yang menggabungkan unsur konkrit dan abstrak misalnya laut kasih. Gaya bahasa hiperbola pula bermaksud membandingkan sesuatu secara berlebih-lebihan. Misalnya marahnya berapi-api bila panggilan tidak dipedulikan.

Unsur bunyi ialah aliterasi dan asonansi. Aliterasi ialah pengulangan huruf konsonan, iaitu huruf-huruf selain huruf-huruf vokal. Contohnya puisi Pasar Perasaan tulisan T. Alias Taib: yang diriuhkan kekosongan – pengulangan konsonan n. Asonansi ialah pengulangan huruf-huruf vokal a, e, i, o dan u. Contohnya, berdasarkan puisi Pasar Perasaan tulisan T. Alias Taib: bagai ranting kering – pengulangan vokal i

(sumber JPN Perak)