Jan 18, 2009

SPM Soalan 3a

BAHASA MELAYU
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
KOD 1103/2
 
KERTAS 2
 
Soalan 3 (a) [6 markah]
 
Jenis-Jenis Soalan Membina Ayat.
 
 
  Peringatan Kepada Pelajar
 
  - Bina satu ayat bagi setiap perkataan yang diberikan dan sebaik-baiknya ialah 
  ayat berlapis iaitu sesuai dengan peringkat kematangan pelajar Tingkatan 4 
  dan 5.
  - Satu markah akan diberikan pada ayat yang betul.
  - Setengah markah akan ditolak bagi kesalahan ejaan/ jalan bahasa/ isi 
  yang tidak jelas.
  - Jangan jadikan perkataan sebagai simpulan bahasa atau nama khas.
  - Jangan bina lebih daripada satu ayat. 
  - Jangan tinggalkan imbuhan atau tambah imbuhan pada perkataan yang diberi.
  - Boleh bina ayat dengan menggunakan cakap ajuk. (Ikut peraturan membina 
  ayat cakap ajuk).
 
  1. Membina ayat daripada kata ganda
 
 
  Kata ganda penuh
 
  Contoh soalan:
  Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan anda faham 
  akan penggunaan dan maksudnya. 
 
  i. jari-jari
  ii. suka-suka
  iii. tinggi-tinggi
  iv. angan-angan
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Jari-jari
  Jari-jari pada jendela di rumah usang itu telah rosak dimakan anai-anai.
 
  ii. Suka-suka
  Saya hanya suka-suka pergi ke pantai tersebut untuk mencari ketenangan.
 
  iii. Tinggi-tinggi.
Bangunan yang terdapat di ibu kota kebanyakannya tinggi-tinggi belaka.
 
  iv. Angan-angan. 
Kita hendaklah menjadikan angan-angan kita sebagai satu kenyataan dalam 
hidup.
 
 
  Kata ganda separa/ sesuku
 
  Contoh soalan:
  Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan anda faham 
  akan penggunaan dan maksudnya. 
 
  i. cecair
  ii. kekuda
  iii. dedalu
  iv. jejari
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Cecair.
  Cecair berwarna kuning yang terdapat di dalam botol itu digunakan sebagai 
  bahan penyubur pokok.
 
  ii. Kekuda
 Tulang bumbung rumah itu dipasang kekuda supaya kukuh dan tidak 
 mudah ditiup angin.
 
  iii. Dedalu
  Banyak pohon dedalu menumpang hidup pada pokok-pokok besar di hutan 
  tersebut.
 
  iv. Jejari.
Lima meter panjang jejari pada bulatan di atas bumbung bangunan itu.
 
 
  Kata ganda berentak
 
  Contoh soalan, (Kata ganda berentak bunyi di hujung)
  Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan anda faham 
  akan penggunaan dan maksudnya. 
 
  i. sayur-mayur
  ii. kuih-muih
  iii. cerai-berai
  iv. karut-marut.
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Sayur-mayur.
 Sayur-mayur yang masih segar dijual di pasar tersebut pada setiap pagi.
 
  ii. Kuih-muih. 
 Kuih-muih itu dibuat untuk majlis perkahwinan anak Pak Abu.
 
  iii. Cerai-berai.
  Tindakan Haji Hussin yang keterlaluan itu telah mendorong keluarga anak 
  sulungnya menjadi cerai-berai.
 
  iv. Karut-marut. 
  Orang Melayu mudah terikut-ikut dengan kepercayaan yang karut-marut
  itu.
 
 
  Contoh soalan, (Kata ganda berentak bunyi di pangkal)
  Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan anda faham 
  akan penggunaan dan maksudnya. 
 
  i. kayu-kayan
  ii. bolak-balik
  iii. mandi-manda
  iv. Lalu-lalang
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Kayu-kayan.
 Kayu-kayan yang keras telah digunakan untuk membuat perabot yang 
 berukir itu.
  
  ii. Bolak-balik.
  “Jangan bercakap bolak-balik sehingga ayah menjadi marah” kata Ali
  kepada adiknya.
  
  iii. Mandi-manda.
 “Puteri Bongsu sedang mandi-manda di kolam di belakang istana” kata 
 hulubalang kepada baginda sultan.
 
  iv. Lalu-lalang.
 Banyak kenderaan lalu-lalang di jalan raya di hadapan sekolah tersebut.
 
 
  Contoh soalan, (Kata ganda berentak bebas)
  Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan anda faham 
  akan penggunaan dan maksudnya. 
 
  i. anak-pinak
  ii. lintang-pukang
  iii. ramah-tamah.
  iv. kusut-masai
 
  Contoh jawapan:
  
  i. Anak-pinak.
  “Hampir semua anak-pinak Pak Sulung hadir bersama bagi meraikan 
  majlis hari jadinya yang keseratus lapan semalam” kata Hajah Siti Hajar 
  kepada emak saudaranya.
 
  ii. Lintang-pukang. 
  Penagih-penagih dadah di belakang rumah besar itu lari lintang-pukang 
  apabila mereka diserbu oleh pihak polis.
 
  iii. Ramah-tamah. 
 Sikap ramah-tamah yang ditunjukkan Haji Majid dan keluarganya 
 menyebabkan keluarga kami suka mengunjungi rumahnya.
  
  iv. Kusut-masai.
  Rambutnya kelihatan kusut-masai apabila terkena hujan lebat.
 
 
  2. Membina ayat daripada perkataan yang hampir sama bunyi tetapi 
  berlainan maksud.
 
  Contoh soalan:
  Tuliskan ayat bagi setiap perkataan dalam pasangan perkataan di bawah untuk 
  menunjukkan perbezaan maksud.
 
  i. deklarasi - deklamasi
  ii. suram - suam
  
  Contoh jawapan:
 
  i. (a). Deklarasi.
  Satu deklarasi mengenai penjagaan alam sekitar telah dibuat di Kuala 
  Lumpur oleh ketua-ketua negara ASEAN.
 
  (b). Deklamasi.
  Pertandingan deklamasi sajak sempena Hari Kebangsaan Peringkat 
  Daerah Segamat telah diadakan pada bulan lepas.
  
  ii. (a). Suram.
  Kabus yang tebal menyebabkan cahaya lampu di atas bukit itu 
  kelihatan suram.
   
  (b). Suam.
  Pak Abu menggunakan air suam untuk melembutkan kerak nasi yang  
  terdapat di dalam periuk itu.
 
 
  3. Membina ayat daripada perkataan tunggal atau kata dasar dan 
  perkataan berganda.
 
  Contoh soalan:
  Tuliskan satu ayat bagi setiap pasangan perkataan di bawah supaya jelas 
  menunjukkan perbezaan maknanya tanpa menambah sebarang imbuhan.
 
  i. tupai - tupai-tupai
  ii. senang - senang-senang
 
  Contoh jawapan:
 
  i. (a). Tupai.
  Beberapa ekor tupai telah terperangkap dalam jebak yang dipasang di 
  atas pokok durian di dusun Pak Leman. 
 
  (b). Tupai-tupai.
  Tupai-tupai dipasang pada tiang bumbung rumah itu supaya 
  kedudukan bumbung rumah itu terus kukuh.
 
  ii. (a). Senang.
  “Asmah, bukan senang aku nak dapat kebenaran daripada ayah” kata 
  Aminah kepada adiknya.
   
  (b). Senang-senang.
  “Ketika senang-senang, datanglah ke rumah saya,” kata ibu kepada 
  rakannya.
 
 
  4. Membina ayat daripada rangkai kata atau ungkapan.
 
  Contoh soalan:
  Tuliskan satu ayat bagi setiap rangkai kata di bawah untuk menunjukkan 
  bahawa anda faham akan penggunaan atau maksudnya.
 
  i. hati terbuka
  ii. berputus asa
  iii. jiwa merdeka
  iv. serkap jarang
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Hati terbuka.
  Cikgu Halimah menerima tetamu pada hari raya dengan hati terbuka.
 
  ii. Berputus asa.
  Kita jangan berputus asa walaupun telah lima kali gagal dalam 
  peperiksaan.
 
  iii. Jiwa merdeka.
 “Mantapkan jiwa merdeka pada diri anda agar anda menjadi seorang 
  warganegara yang disegani", nasihat guru kaunseling kepada anak 
  muridnya.
 
  iv. Serkap jarang. 
  Tuduhan yang dikenakan kepada pegawai itu kurang mempunyai bukti yang 
  kukuh dan tindakan itu hanya sebagai serkap jarang sahaja.
 
 
  5. Membina ayat daripada perkataan berimbuhan.
 
  Contoh soalan:
  Tuliskan ayat bagi setiap pasangan perkataan di bawah untuk menunjukkan 
  bahawa anda faham akan penggunaan dan maksudnya.
 
  i. penyedap - menyedapkan
  ii. penamaan - kenamaan.
 
  Contoh jawapan:
 
  i. (a) Penyedap.
  Rempah ratus dari India digunakan sebagai penyedap dalam masakan 
  itu.
   
  (b) Menyedapkan.
  Udang kering yang dikisar dimasukkan ke dalam makanan itu untuk 
  menyedapkan rasanya.
 
  ii. (a) Penamaan.
  Penamaan calon bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri Kawasan 
  Sepinang akan dilakukan pada hari esok.
   
  (b) Kenamaan.
  Beberapa orang kenamaan telah hadir untuk menyerikan majlis 
  perkahwinan tersebut.
 
  Contoh soalan:
  Tuliskan satu ayat bagi setiap pasangan perkataan di bawah untuk 
  menunjukkan bahawa anda faham akan penggunaan dan maksudnya.
 
  i. ada
  ii. berada
  iii. mengadakan
  iv. keadaan
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Ada.
  Dia ada wang untuk membeli kereta mewah tersebut.
 
  ii. Berada. 
  Ketika rumahnya runtuh ditiup angin, dia berada di rumah rakannya.
 
  iii. Mengadakan. 
  Kerajaan telah mengadakan kempen gaya hidup sihat semenjak dua 
  bulan yang lalu.
 
  iv. Keadaan. 
  Encik Ramasamy berada dalam keadaan tenat setelah diserang penyakit 
  jantung.
 
 
  6. Membina ayat daripada kata banyak makna
 
  Contoh soalan:
  Tulis dua ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan 
  perbezaan maknanya.
 
  i. kuat
  ii. cetek
 
  Contoh jawapan:
 
  i. Kuat.
  1. Walaupun badannya kurus tetapi dia kuat makan.  
  2. Bangunan yang dibina itu sungguh kuat dan teguh.
 
  ii. Cetek.
  1. Sungai di belakang rumahnya tidak berbahaya kerana airnya cetek.
  2. Dia tidak terpilih menjadi ketua kerana ilmu persilatan yang 
  dimiliknya masih cetek.
 
 
  7. Membina ayat daripada pasangan perkataan berimbuhan dan pasangan perkataan berganda.
 
  Contoh soalan:
  Tulis satu ayat bagi setiap pasangan perkataan di bawah untuk menunjukkan 
  perbezaan maksudnya.
 
  i. mengharapkan - harap-harap
  ii. menyenangkan - bersenang-senang
 
  Contoh jawapan:
 
  i. (a). Mengharapkan.
  Encik Hassan terlalu mengharapkan anaknya agar dapat melanjutkan 
  pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam pada tahun hadapan.
 
  (b). Harap-haap.
  “Harap-harap dia akan melaksanakan tugas tersebut dengan 
  sempurna” kata pengetua kepada penolong kanannya.
 
  ii. (a). Menyenangkan.
  Para guru hendaklah menggunakan Teknologi Maklumat bagi membantu dan menyenangkan mereka mengajar.
 
  (b). Senang-senang.
  Mohamad Zaki memberi tahu gurunya bahawa soalan peperiksaan akhir tahun mata pelajaran Matematik yang dikeluarkan oleh gurunya itu senang-senang belaka.
 
(sumber : tak diketahui- maklumat ini dah lama dalam simpanan saya tetapi saya tidak pasti siapa penulisnya.Jadi, kalau ada yang mengaku bahan ini kepunyaan dirinya, maklumkan kepada saya melalui emel cikguaniza@gmail.com)

No comments:

Post a Comment